Pengenalan
Dasar dan Garis Panduan ICT Sektor Awam mengandungi arahan, peraturan dan panduan yang mesti dibaca dan dipatuhi oleh agensi Kerajaan dalam melaksanakan pembangunan perkhidmatan ICT Kerajaan.

Tujuan
Tujuan Dasar dan Garis Panduan ICT Sektor Awam digubal adalah bagi menyatakan peranan dan tanggungjawab pihak-pihak yang bertanggungjawab dalam mengurus, mentadbir dan melaksanakan pembangunan perkhidmatan ICT Kerajaan. Agensi Kerajaan bertanggungjawab mematuhi akta, dasar dan peraturan yang ditetapkan bagi menjamin kerahsiaan, integriti dan kebolehsediaan urusan maklumat Kerajaan melalui penggunaan teknologi digital.

Takrifan
Takrifan yang diguna pakai dalam Dasar dan Garis Panduan ICT Sektor Awam adalah seperti berikut:

Dasar
Dasar ialah satu kenyataan rasmi, ringkas, dan peringkat tinggi atau pelan yang merangkumi kepercayaan umum sesuatu organisasi, tujuan, objektif, dan prosedur mengikut bidang yang ditetapkan. Dasar menyatakan tindakan yang perlu dilaksanakan dan wajib dipatuhi. Ia memberi tumpuan kepada keputusan dan bukan cara pelaksanaan.

Standard
Standard ialah aktiviti, tindakan, undang-undang atau peraturan mandatori yang direka untuk menyediakan struktur sokongan dan hala tuju spesifik yang diperlukan oleh dasar untuk menjadikannya bermakna dan efektif.

Garis Panduan
Garis panduan ialah pernyataan umum yang direka untuk mencapai objektif dasar dengan menyediakan rangka kerja bagi pelaksanaan prosedur. Garis panduan merupakan suatu cadangan pelaksanaan.

Prosedur
Prosedur memperincikan arahan yang telah ditetapkan dalam dasar serta standard dan garis panduan yang menyokong dasar tersebut dilaksanakan dalam persekitaran yang dikendalikan.

Kategori dan Bidang Dasar ICT
Dasar dan garis panduan ICT dikeluarkan dalam tiga kategori utama seperti yang berikut:

Pekeliling, iaitu suatu arahan rasmi mengenai sesuatu dasar kerajaan;
Surat Pekeliling, iaitu suatu penjelasan tentang pelaksanaan sesuatu dasar yang dinyatakan dalam pekeliling; dan
Surat Arahan, iaitu suatu arahan untuk melaksanakan sesuatu perkara secara spesifik tetapi tidak semestinya berdasarkan perkara yang dinyatakan dalam pekeliling atau surat pekeliling.
Mesyuarat Panel MPA bil. 1 tahun 2016 yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Negara (KSN) pada 30 Mac 2016 telah memutuskan penjenamaan istilah daripada Pekeliling Kemajuan Pentadbiran Awam (PKPA) kepada istilah baharu, iaitu Pekeliling Transformasi Pentadbiran Awam (PTPA) dan ini sekali gus terpakai kepada pekeliling dan surat pekeliling.